oleh Ikan Oh Ikan pada pada 04hb April 2010 pukul 12.03 pagi
Bagaimana mengetahui ikan air tawar makan umpan? Kerana banyak sentapan mengena badan bukannya mulut.
Assalamualaikum Pok Mud’s.
1. Bagaimana mengetahui ikan air tawar makan umpan? Kerana banyak sentapan mengena badan bukannya mulut.
2. Apakah tangsi yang sesuai untuk pancing kolam sebab yang saya guna selalu kerinting hujungnya. Saiz tangsi yang sesuai?
3. Jenama mata kail yang sesuai untuk kolam air tawar dan saiznya?
Pemancing Air Tawar, Lembah Klang
1. Kebanyakan ikan air tawar terutama dari spesies karp akan makam umpan secara menyedup. Ia tidak seperti spesies ikan bergigi atau pemburu di mana umpan disambar atau telan secara rakus. Ikan yang menyedup makanan tidak akan melarikan umpan tersebut. Malah proses makan umpan secara menyedup dilakukan berulang kali sekiranya umpan berkenaan terlalu besar.
Jika dilihat tabiat ikan ini makan umpan, ia akan sedut kemudian luah kembali, sedut lagi dan luah semula. Secara tidak langsung sekiranya umpan dedak digunakan, ia akan mengecil setiap kali ikan sedut dan luah sehingga saiznya benar-benar mampu ditelan oleh ikan secara keseluruhan.
Dalam proses ini ikan atau umpan biasanya kekal pada posisi, sebab itu pemancing dapati hampir tiada sama sekali pergerakan tali. Untuk menentukan saat ikan sedang mengerutu umpan, pemancing berpengalaman biasanya memastikan tali pancing tegang dan satu teknik pedoman untuk melihat pergerakan tali turun naik dipraktikkan.
Biasanya ketulan kecil dedak di lekatkan pada tangsi di antara cincin nombor 1 dan cincin nombor 2 dari kedudukan kekili. Ketulan kecil dedak ini bertindak seperti jarum penunjuk apabila terdapat pergerakan tali. Sekiranya ia dedak ini kelihatan turun dan naik beberapa kali, ia menandakan ikan sedang menjamah umpan.
Ambil masa sesuai untuk membalas joran iaitu ketika tali benar-benar tegang dan mula bergerak keluar dilarikan ikan. Ketulan dedak atau roti akan terlerai sendiri apabila joran disentap atau dikarau tali. Ia tidak mengganggu sama sekali aktiviti memancing tersebut.
Berlakunya mata kail mengena badan ikan bukannya mulut adalah kerana joran disembat bukan pada masa sesuai. Ramai kaki kolam terus sembat joran membabi buta apabila terdapat tanda-tanda tali pancing bergerak. Kita perlu tahu sesetengah kes ikan secara tidak sengaja terlanggar tali pancing ,bukannya makan umpan yang kita pasangkan.
2. Kebanyakan tangsi mudah kerinting kerana sifatnya sendiri yang mempunyai ‘daya ingatan’ tentang bentuk sebelumnya. Malah teknik dan kemahiran pemancing turut memberi impak kepada mudahnya tangsi berkerinting. Perhatikan jika umpan di pasang tidak betul atau swivel tidak berfungsi maka tangsi cukup mudah berpintal ketika kendur.
Ketika menegang pemancing tidak perasan tangsi telah menyimpan tenaga ingatannya untuk jadi kerinting dan pintal sebaik sahaja tangsi dikendurkan. Jadi apa jua jenama dan saiz implikasinya tetap sama di mana ia akan berpintal jika perkara mengenai peranan swivel, cara memasang umpan dan teknik memancing tidak didalami dengan sewajarnya.
Sebagai petua pemancing kena pastikan tangsi tidak berpusing-pusing dikarau masuk. Jika berlaku pemancing perlu betulkan semula tangsi dengan mengeluarkan sebahagian tangsi dalam gelendung dan karau semula tanda ada sebarang beban (swivel, mata kail, umpan atau gewang perlu dipotong) pada keseluruhan tangsi hingga hujungnya.
Lakukan dengan mengeluarkan tali ke dalam air kerana ia boleh menangani masalah kusut apabila tangsi dikeluarkan dengan banyak.
3. Jenama bergantung kepada kos yang sanggup dibayar oleh pemancing untuk mendapatkan mutu mata kail tersebut. Yang elok seperti Gamakatsu, Owner, Mustard, Berkley, Daichi dan sekadar menyebut beberapa jenama, Jenis sesuai ialah octopus di mana bukaan mata adalah besar. Kalau boleh tidak kira apa jenama ia mestilah tajam dan kuat. Saiz bergantung kepada jenis ikan yang di buru. Kalau patin contohnya pakai 1/0 hingga 3/0. Jangan terlalu besar mata kail, kecil pun boleh asalkan kuat dan tajam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan